06 August 2010, BY Sepang International Circuits
Tengah malam esok, Litar Sepang bakal bergegar dengan deruman ribuan kuasa kuda dan bergema dengan ngauman eksos canggih jentera-jentera garang apabila edisi ke 11 perlumbaan lasak 12 jam Merdeka Millennium Endurance Race (MMER) bermula.
Dilepaskan oleh Ratu Malaysia Miss World Thanuja Ananthan, saingan tahun ini menemukan 36 jentera garang, yang antaranya termasuk jentera Lamborghini LP560, Porsche 997 RSR, Porsche 911 GT3, Lotus 2-11, Aston Martin, Honda Integra DC5, Honda Civic Type R, Toyota Altezza dan Audi R8 LMS.
Diadakan bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan sejak tahun 2000, perlumbaan tahun ini dilihat sebagai yang paling mencabar dalam sejarah MMER dengan kehadiran para pemandu handalan yang pernah mencipta nama pada perlumbaan terkemuka dunia seperti perlumbaan 24 Jam LeMans, perlumbaan 24 Jam Nurburgring serta pelbagai siri kejuaraan utama dunia yang lain.
Menerajui saingan adalah juara lima kali perlumbaan LeMans, Frank Biela, yang bakal bergandingan dengan seorang lagi jagoan perlumbaan LeMans 24 Jam, Marco Werner dan bekas juara perlumbaan Porsche Carrera Cup Asia, Daryl O’Young, yang juga juara keseluruhan MMER pada 2008.
Atas kertas, mereka seperti tiada saingan – pasukan Audi Race Experience Team Joest, yang akan menggunakan jentera Audi R8 LMS, adalah pasukan ‘factory works’ pertama untuk menyertai perlumbaan MMER ini. Sebagai pasukan ‘factory works’, mereka mendapat sokongan penuh daripada Audi untuk bertarung di Sepang.
Malah, Pengerusi SIC Datuk Mokhzani Mahathir, yang juga antara akan bertanding pada edisi ke 11 ini dan juara keseluruhan pada tahun 2007, mengakui bahawa pasukan Audi itu adalah pilihan utama untuk muncul juara.
“Saya rasa ini adalah ‘factory works team’ pertama yang menyertai MMER. Tentunya, ini adalah sesuatu yang kita patut bangga kerana kita boleh belajar daripada mereka tentang bagaimana penampilan sebuah pasukan yang ‘established’ dalam satu perlumbaan.
“Seperti yang kita tahu Team Joest ini berlumba dan menang di LeMans. Tetapi, walaupun demikian saya yakin bahawa pasukan-pasukan lain khususnya yang bersaing dalam kelas GT juga amat bersedia. Juara keseluruhan untuk 2007, 2008 dan 2009 kembali untuk berlumba dan sya tidak yakin mereka akan membenarkan pasukan Audi ini menang mudah,” kata Mokhzani.
Ketika Mokhzani memenangi perlumbaan berkenaan pada 2007, pasukan Kencana Racing pimpinan beliau disokong oleh pemandu handalan Denmark and bekas pemenang perlumbaan 24 jam Nurburgring, Lars Erik Nielsen. Pemandu ketiga pasukan berkenaan ialah Sven Herberger, seorang jurulatih tetap Porsche.
Gandingan itu kembali tahun berikutnya; tetapi terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua selepas tewas kepada pasukan Porsche Club Singapore Racing, yang menggunakan jentera Porsche RSR dan dipacu oleh O’ Young, Nicolas Davison dan Mok Weng Sun.
Tahun lepas, Mokhzani dan rakan-rakannya terkeluar awal dari saingan dengan masalah kerosakan enjin. Sebaliknya, edisi ke 10 MMER itu menjadi milik pasukan PETRONAS Syntium Racing, yang mencatat keputusan sensasi 1-2.
Untuk saingan 2010, Mokhzani dan Herberger tidak akan bersama Nielsen. Sebaliknya, gandingan ketiga mereka adalah Dominik Farnbacher – pemandu handalan dari Jerman, yang baru-baru ini muncul naib juara pada perlumbaan 24 Jam Nurburgring untuk kelas GT2.
Nama-nama lain juga tidak kurang hebat. Antara mereka termasuklah Peter Kox, Christopher Haase, Richard Lietz, Craig Baird, Matthew Marsh dan para pemandu Super Taikyu Jepun - Tatsuya Kataoka, Nobuteru Taniguchi dan Masataka Yanagida. Mereka juga adalah jagoan di pentas sukan lumba kereta antarabangsa.
Di kalangan para pelumba negara, nama-nama yang bersaing tidak kurang gahnya. Antara mereka termasuklah bekas pemandu F1 negara Alex Yoong, pemandu ujian Lotus F1 Racing Fairuz Fauzy, pemilik pasukan Meritus Firhat Mokhzani, pemandu GT3 Asia Tunku Hammam Sulong, Eddie Lew, Wong Yew Choong, Keifli Othman, Rizal Ashram Ramli, Farriz Fauzy dan bekas jaguh ekuestrian negara Ashraff Dewal.
Mengulas perkara ini, Mokhzani berkata : “Saya merasa bangga nama-nama hebat ini menyertai MMER … ia menunjukkan bahawa perlumbaan ini mampu menarik minat nama-nama besar,” kata Mokhzani, yang berharap penyertaan mereka akan memikat lebih ramai lagi para pemandu dan pasukan-pasukan ‘endurance’ utama dunia.
Sememangnya, itulah tujuan SIC mengubah syarat-syarat perlumbaan tahun ini; dengan memperkenalkan kelas GT, kelas Sports Production and kelas Touring Production, yang menggantikan kelas terbuka, A1 dan A2 yang digunakan tahun lepas.
Bukan sekadar penukaran nama, kategori-kategori baru ini turut diseleraskan dengan syarat-syarat pertandingan yang digunakan oleh perlumbaan-perlumbaan ‘endurance’ utama dunia seperti perlumbaan 24 Jam LeMans, Nurburgring dan Dubai.
“Ini bukanlah undang-undang baru; ataupun dirangka untuk ketidak-adilan. Ia adalah sebaliknya. Semua orang mahu peluang yang adil untuk menang. Dengan memperkenalkan undang-undang yang diterima di seluruh dunia, adalah mudah untuk pasukan membuat keputusan sama ada MMER ini adalah perlumbaan yang mereka mahu sertai dengan kereta-kereta yang mereka lumba pada perlumbaan-perlumbaan lain dan di litar-litar lain,” jelas Mokhzani.
Ketika diperkenalkan pada tahun 2000, MMER dirangka untuk menggalakkan penyertaan. Kerana itu, ia tidak menggunakan undang-undang yang ketat sekali gus menyaksikan kereta-kereta seperti Kembara, Kenari dan Bufori mengambil bahagian.
MMER bermula dengan lima kelas termasuk kelas terbuka untuk jentera-jentera yang diubahsuai sepenuhnya untukperlumbaan. Kerana itu, adalah tidak menghairankan pasukan Proton PERT muncul juara sulong dengan menampilkan tiga pelumba handalan negara ketika itu – Karamjit Singh, Tommy Lee dan Jimmy Low.
Evolusi untuk MMER berterusan dengan SIC gigih berusaha untuk memantapkan termasuk mencuba permulaan perlumbaan di tengahari. Kategori-kategori perlumbaan dan model kereta yang dibenarkan turut berubah sesuai dengan misi SIC untuk menjadikan MMER sebagai acara perlumbaan lasak yang boleh berdiri bangga dengan LeMans dan Nurburgring.
Edisi sulung MMER menyaksikan penyertaan 52 kereta. Pada tahun berikutnya, jumlah penyertaan sentiasa melebihi 77 kereta, yang menjadi jumlah maksima yang dibenarkan oleh badan pentadbir sukan pemotoran antarabangsa FIAuntuk Litar Sepang untuk mana-mana perlumbaan yang menggunakan format ‘rolling start’.
Setiap tahun selepas 2001, MMER akan menyaksikan pasukan-pasukan yang kecewa kerana terpaksa ‘bungkus awal’ – mereka gagal menempatkan diri mereka di kalangan 77 pasukan terpantas sekaligus terkeluar daripada saingan sebelum pertarungan sebenar bermula.
Bagi mengatasi perkara ini dan demi keselamatan di litar, SIC memutuskan tahun lepas untuk mengeluarkan kereta-kereta dengan kapasiti enjin di bawah 1900cc daripada saingan MMER. Sebaliknya, mereka akan bersaing dalam perlumbaan lasak mereka sendiri bergelar perlumbaan Sepang 1000-kilometer atau lebih dikenali dengan nama S1K.
Dengan ‘perpisahan’ itu, MMER mencatat penyertaan paling rendah tahun lepas dengan 41 kereta. Jumlah penyertaan tahun ini adalah 36 dan perkara ini kuat dikaitkan dengan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan sekarang dan kesukaran mendapat penajaan.
Apapun, SIC gembira dengan sambutan daripada komuniti sukan pemotoran terhadap MMER 2010 khususnya dari segi kualiti penyertaan.
Ulas Mokhzani: “Untuk mendapat pasukan seperti Audi ‘factory team’, jentera-jentera Porsche RSRs, Lamborghini Gallardos, Mosler, Aston Martin, dan begitu banyak kereta dengan sesetengah mereka merupakan pemenang-pemenang LeMans di sini di SIC adalah hebat.
“Kita telah menyaksikan beberapa pasukan-pasukan terbaik dunia bersaing di sini … berlumba dengan para pelumba tempatan dan kita juga tidak kurang hebat. Selepas 10 tahun, perlumbaan MMER ini telah berkembang menjadi perlumbaan serius untuk pasukan serius dan pemandu serius.
“Saya masih ingat beberapa perlumbaan MMER yang awal dulu … pasukan masih belum terurus, sukar untuk dibezakan antara satu pasukan dengan pasukan yang lain kerana mereka tidak mempunyai uniform; hisap rokok ketika membaiki enjin dan banyak perkara ganjil yang lain.
“Lihatlah mereka sekarang. Mereka berdiri megah sebagai sebahagian daripada pasukan, berlumba mengejar kejayaan dalam apa jua kelas; bekerja mendapatkan penaja dan penyokong … dan tahu bahawa apabila mereka menang MMER, mereka boleh berbangga dan boleh bergelar pemandu handalan,” kata Mokhzani.
“Di pihak kami, SIC akan terus berusaha untuk memastikan MMER terus berkembang maju untuk menjadi perlumbaan yang lebih besar dan lebih hebat. Kerana itulah, peraturan kami diselaraskan mengikut peraturan GT FIA dan peraturan-peraturan lain yang digunakan meluas di litar-litar lain. Ini adalah untuk membolehkan lebih banyak pasukan menggunakan kereta yang mereka gunakan di litar lain untuk MMER.
“Sememangnya, kita masih jauh berbanding dengan perlumbaan 24 Jam LeMans dan Nurburgring. Tetapi, kita sudah berjaya menempatkan diri kita sebagai perlumbaan perdana di rantau Asia. Dan, tentunya, memenangi MMER adalah satu kemenangan yang tidak kurang membanggakan apabila seseorang itu dapat naik podium,” tambah Mokhzani.
JUARA-JUARA LEPAS
- 2009 Tatsuya Kataoka/Manabu Orido/Johan Adzmi (BMW Z4M Coupe)
- 2008 D.Nicholas /Darryl O'Young/ Mok Weng Sun (Porsche 911 GT3 RSR)
- 2007 Mokhzani Mahathir/Sven Herberger/Lars Erik Nielsen (Porsche 911 GT3 RSR)
- 2006 Tengku Djan Ley/Damien French/Faidzil Alang (Lotus Exige 300RR)
- 2005 Tengku Djan Ley/Genji Hashimoto/Tony Ricciardello (Lotus Exige 300RR)
- 2004 Eddie Lew/Hiroki Katoh/Farriz Fauzy (Honda Civic 2.0 i-VTEC)
- 2003 Eric Yeo/Chin Tzer-Jinn/Firhat Mohkzani (Porsche 911 GT3 Cup)
- 2002 Nigel Albon/Tommy Lee/T. Hamman (Porsche 911 GT3 Cup)
- 2001 Jeffrey Wong/Admi Sharhal/Tommy Lee (TVR Chimaera)
- 2000 Jimmy Low/Karamjit Singh/Tommy Lee (Proton PERT)